Usia cecah 50 tahun, Syafinaz Selamat tampil berhijab raih pujian ramai
Penyanyi dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat mencuri tumpuan ramai selepas tampil sopan menerusi satu hantaran video di laman Instagram miliknya petang tadi.
Menerusi video tersebut, penyanyi berusia 50 tahun itu dilihat mempromosikan sebuah karnival sempena peristiwa Israk Mikraj yang akan diadakan berdekatan Masjid Negeri, Seremban pada 17 dan 18 Februari ini
Apa yang menarik perhatian adalah penyanyi lagu Persis Salju itu mengenakan hijab dengan solekan ringkas sehingga menerima pelbagai reaksi daripada pengikutnya.
Rata-rata memuji kecantikan Syafinaz yang kelihatan lebih ayu dan manis apabila memakai hijab selain mendoakannya supaya kekal dengan imej seperti itu satu hari nanti
Terdahulu, Syafinaz atau mesra disapa Tok Naz pernah beberapa kali mencuri tumpuan apabila menjadi guru vokal kepada qari dan qariah untuk memantapkan lagi teknik taranum dan melagukan ayat-ayat suci al-Quran di sebuah akademi di Negeri Sembilan